PETALING JAYA – Penyerang skuad B-23 negara, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya sah melebarkan sayap ke negara Jepun apabila menyertai kelab divisyen 3, YSCC Yokohama pada musim baharu nanti.
Penyerang berusia 22 tahun itu disahkan berkelana ke negara Matahari Terbit dengan status pinjaman daripada kelab Belgium yang diwakilinya, K.V Kortrijk sehingga penghujung tahun ini.
Luqman dalam satu kenyataan mengakui sangat gembira dapat mewakili kelab Jepun dan harap dapat memberikan yang terbaik buat pasukan nanti.
“Saya sangat gembira dapat menandatangani kontrak secara pinjaman bersama YSCC.
“YSCC kelab yang hebat dan saya berasa amat selesa berada di sini. Sudah pasti saya tidak sabar untuk memulakan cabaran baru selepas ini,” katanya.
Luqman yang telah bersama K.V Kortrijk sejak tahun 2020 pernah dipinjamkan ke kelab Iceland, Njardvik FC pada musim lepas. – KOSMO! ONLINE