PORT DICKSON – Lima ahli sindiket termasuk sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan penipuan dalam menawarkan pinjaman tidak wujud, November tahun lalu.
Tertuduh, Lee Jia Re, 23; Jason Lee Lian Sheng, 25; Jass Lee Ying Xing,19; Amiratul Najihah Abdul Malik, 21; dan Kamarul Nazrin Kamarulzaman, 29, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Berdasarkan pertuduhan bersama, kesemuanya telah didapati dengan curangnya menipu seorang lelaki berusia 35 tahun dengan memperdayakan untuk membuat pembayaran sebanyak RM3,897 ke akaun bank seorang lelaki bagi tujuan mendapatkan pinjaman wang secara atas talian.
Perbuatan itu dilakukan pada 11 November tahun lalu di sebuah resort di sini.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal, manakala tertuduh masing-masing berasal dari Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pahang diwakili peguam, Alvin Tan Keng Yi.
Nadia Ezzati kemudian memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap tertuduh.
Majistret membenarkan wang jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 20 Februari ini.
Difahamkan kesemua tertuduh ditangkap pada 20 Disember tahun lalu dalam satu serbuan di Sendayan dengan pelbagai barangan yang dipercayai bagi aktiviti penipuan. – KOSMO! ONLINE