JAKARTA – Seorang wanita terjatuh dari motosikal yang ditunggang selepas disepak oleh seorang lelaki yang menaiki basikal di sebuah persimpangan lampu isyarat, lapor portal berita Tribun Trends hari ini.
Setelah motosikal wanita itu ditendang, lelaki yang mengayuh basikal itu meninggalkan tempat kejadian tanpa menunjukkan rasa bersalah. Kejadian itu berlaku Sabtu lepas di Sleman, wilayah Pulau Jawa.
Ia dirakam oleh kamera papan pemuka sebuah kereta yang berada berhampiran lokasi kejadian sebelum dimuat naik dan menjadi tular di laman sosial.
Wanita itu kelihatan sukar untuk bangun semula setelah ditimpa motosikalnya.
Bagaimanapun, orang ramai mengangkat motosikal mangsa bagi membolehkan dia berdiri semula.
Netizen kemudian memberikan komen tentang kejadian itu dengan ada menyatakan pernah melihat kejadian serupa.
“Aku pernah berjumpa dengannya (lelaki itu) ketika mahu pergi ke tempat kerja dekat Lempunyang,” tulis seorang netizen.
Menurutnya, lelaki berbasikal itu mungkin mengalami gangguan jiwa. – AGENSI