ARAU – Seorang peniaga makanan dari Taman Pauh Indah, di sini mendakwa dia turut diganggu ketukan misteri pada Ahad lalu dan awal pagi semalam.
Menurut Muhammad Syakir Mohd Yusof, 29, gangguan pertama berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi.
“Dalam kejadian Ahad lalu itu, saya sedang melayari internet sebelum dikejutkan dengan tiga ketukan pada pintu masuk rumah.
“Ketukannya tidak kuat tetapi ritmanya agak pantas sebanyak tiga kali seolah-olah seperti orang terdesak ingin meminta supaya kita membuka pintu atau mohon pertolongan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya, semasa kejadian, dia turut mendengar bunyi anjing menyalak bersahutan sehingga mengejutkan isteri, Siti Masmerang Arifin, 47, yang sedang tidur.
Menurutnya, dia kemudian keluar memeriksa dan mendapati tiada sesiapa di luar rumah, malah pintu pagar juga berkunci.
“Terus terlintas di fikiran saya bagaimana orang boleh mengetuk pintu melainkan individu itu melompat pagar,” ujarnya.
Katanya lagi, kejadian kedua berlaku kira-kira pukul 2.20 pagi, semalam apabila pintu bilik tidur anaknya pula diketuk.
“Ketukan pada malam kedua ini juga sama, seolah-olah mendesak tetapi tidak kuat menyebabkan saya yang berada di luar bilik membuka pintu dan mendapati anak-anak sedang tidur.
“Saya kata ketukan kedua agak ‘berani’ kerana selepas menutup pintu dan hanya tiga langkah berjalan, ia berbunyi semula sekali. Apabila saya berpusing kembali, ketukan itu hilang,” jelasnya.
Ujarnya, kejadian misteri itu membuatkan dia runsing kerana hanya dia sahaja mendengar ketukan tersebut dalam rumah yang dihuni empat orang itu.
“Saya dan isteri runsing mengenai hal ini dan pada mulanya tidak percaya, namun yakin ia benar-benar berlaku selepas mendapat tahu ramai lagi orang lain di negeri ini ditimpa kejadian sama.
“Pada mulanya kami tidak menceritakan kepada sesiapa, namun sekiranya ia melarat, saya akan berikhtiar untuk menghentikan ketukan misteri ini,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan puluhan rumah di Kampung Lubuk Machang, Chuping di Padang Besar diganggu ketukan misteri dan ia kini beralih arah ke kawasan Arau. – KOSMO! ONLINE.