fbpx

Kertas siasatan wang simpanan Dynas Mokhtar lesap lebih RM29,000 dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video pendedahan Dynas yang dimuat naik di akaun Instagramnya, semalam.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan wang simpanan pelakon Dynas Mokhtar bernilai RM29,313.20 yang lesap secara tiba-tiba di dalam akaun peribadinya.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Capaian Tanpa Kuasa) oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah Brickfields bagi tindakan selanjutnya.

Ujarnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 40 tahun itu membuat semakan penyata akaun peribadi pada 13 Januari lalu dan mendapati terdapat 11 transaksi dalam tempoh lima hari tanpa pengetahuannya.

“Mangsa mendapati terdapat 11 transaksi dari 8 Januari sehingga 12 Januari tanpa pengetahuan dirinya yang berjumlah RM29,313.20.

“Mangsa membuat laporan polis menafikan dan menyatakan tidak pernah memberikan butiran peribadi perbankan kepada mana-mana pihak ketiga.

“Mangsa yang juga seorang pengurus syarikat kosmetik juga menafikan ada menerima sebarang pesanan ringkas nombor OTP (one-time password) bagi kesemua transaksi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Amihizam mengingatkan agar orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini.

“Sebarang maklumat lain berkaitan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, boleh disalurkan kepada hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.

Terdahulu, Dynas menerusi satu video di akaun Instagramnya mendedahkan wang simpanan dalam akaun peribadinya lesap secara tiba-tiba.

Perkara tersebut disedari selepas ingin membuat pembayaran gaji pengurusnya dan wujud beberapa transaksi asing membabitkan akaun simpanan yang berada di luar pengetahuannya.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu enggan berkongsi butiran mengenai bank mahupun jumlah kerugian yang dialami. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI