BATU PAHAT – Kebakaran melibatkan sebuah masjid di Kampung Parit Simis Darat dan surau di Kampung Parit Bangas di Sri Medan kelmarin serta malam tadi menjadi tanda tanya kepada penduduk di dua penempatan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, diharapkan kedua-dua rumah ibadat ini dapat dibaik pulih dan digunakan semula sebelum bulan ramadan.
Katanya, apa pun puncanya, penduduk diharapkan menunggu keputusan siasatan daripada pihak berwajip dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai.
“Sama-sama kita berdoa, agar perkara ini tidak berlaku lagi khususnya di Sri Medan dan seluruh negara amnya selain dapat diselesaikan dengan baik.
“Mungkin individu yang melakukan onar ini mempunyai masalah penyakit mental kerana orang yang berfikiran waras tidak akan membuat perkara seperti ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Sebelum itu, Zulkarnain meluangkan masa melawat Surau Ar Nur Parit Bangas, Sri Medan yang terbakar malam tadi.
Ujarnya, jarak antara masjid dan surau yang terbakar hanya sekitar tiga kilometer sahaja kerana kedua-dua kampung adalah terletak bersebelahan.
Semalam, Kosmo! melaporkan sebuah masjid di Kampung Parit Simis di Sri Medan kira-kira pukul 10.50 malam manakala Surau di Kampung Parit Bangas turut mengalami musibah pada masa yang hampir sama. – KOSMO! ONLINE