fbpx

Clare fail rayuan bayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Clare (kiri) dan Sultanah Nur Zahirah

PUTRAJAYA – Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi pihak memfailkan kebenaran di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan bayaran ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah.

Dua lagi pihak itu ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan, Vinlin Press Sdn Bhd.

Perkara itu disahkan peguam yang mewakili ketiga-tiga pihak itu, Haikaldin Mahyidin ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut peguam itu, permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu difailkan pada 10 Januari lalu, yang pada asasnya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

“Justeru pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 13 Februari ini,” katanya.

Pada 12 Disember lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, mengarahkan pembayaran itu secara secara sebulat suara.

Ia selepas panel hakim terbabit membenarkan rayuan Sultanah Nur Zahirah sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Azhahari Kamal berkata, pihaknya mengambil kira beberapa faktor dalam memberi ganti rugi itu termasuk kurang penyesalan.

Terdahulu pada 31 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Sultanah Nur Zahirah terhadap ketiga-tiga pihak tersebut berhubung dakwaan fitnah dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The inside IMDB Expose’.

Sebelum ini, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 21 November 2018, dengan mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud baginda terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.

Selain itu, Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah meminta ganti rugi am RM100 juta daripada setiap pihak dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI