SETIU – Dua pekerja yang dalam perjalanan pulang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah pulau peranginan di daerah ini hampir lemas apabila bot dinaiki dibadai ombak di muara Kuala Setiu di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang tersebut, mereka bernasib baik diselamatkan rakan-rakan sekerja yang berada di sebuah bot lain yang berada berhampiran.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa berada di dalam bot berkenaan bersama lima rakan sekerja lain.
“Sebaik memasuki muara Kuala Setiu untuk mendarat di jeti berhampiran, bot dinaiki mereka tiba-tiba dibadai ombak menjadikannya kurang stabil.
“Ia menyebabkan dua mangsa yang berada di bahagian hadapan bot tercampak ke dalam muara sungai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Afandi berkata, rakan-rakan sekerjanya yang berada di dalam bot lain di belakang bertindak pantas menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Tambah beliau, dua pekerja kontrak terbabit telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Saya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan sentiasa memakai jaket keselamatan sewaktu menaiki bot,” katanya. – KOSMO! ONLINE