DUA pemain kelahiran Belanda yang mewakili kelab Liga Eridivisie, Sem Scheperman dan Diego van Oorschot didakwa memiliki pertalian darah dengan Malaysia sekali gus berpotensi untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.
Menurut laman Instagram frfuturetalents, Scheperman yang baru berusia 22 tahun dan van Oorschot, 19, dikatakan mempunyai darah Malaysia di sebelah nenek kandungnya, tetapi belum dipastikan kesahihannya.
“Benar (saya ada darah Malaysia) menerusi nenek,” kata kedua-dua pemain yang mewakili kelab Heracles Almelo menerusi tangkap layar di Instagram berkenaan.
Scheperman yang beraksi di posisi tengah dan dilihat menjadi salah satu tunjang pasukan Heracles Almelo apabila membuat 13 penampilan di liga utama Belanda itu musim ini.
Sementara itu, van Oorschot yang beraksi selaku penyerang pula dianggap sebagai pemain muda meningkat naik apabila membuat tiga penampilan sebagai pemain gantian buat pasukan kendalian John Lammers itu.
Harimau Malaya yang sedang mengharungi kempen Piala Asia 2023 di Qatar ketika ini telah diwakili seramai sembilan pemain berdarah warisan.
Antara yang dipanggil adalah La’vere Corbin-ong (Barbados), Matthew Davies (Australia), Dominic Tan (Singapura), Natxo Insa (Sepanyol), Darren Lok (England), Brendan Gan (Australia).
Selain itu, Stuart Wilkin dan Daniel Ting yang lahir di England serta Junior Eldstal (Sweden) turut dipanggil menguatkan skuad kendalian Kim Pan-gon kali ini.