fbpx

17 kes jatuh jambatan di Kelantan dalam tempoh 3 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal semasa melawat lokasi kejadian seorang peniaga produk kosmetik yang terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, Kota Bharu hari ini. F- Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

KOTA BHARU – Sebanyak 17 kes jatuh jambatan dengan 16 kematian akibat lemas direkodkan di Kelantan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, daripada jumlah itu, kejadian di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini mencatatkan kes tertinggi iaitu sembilan kes diikuti Jambatan Tendong dengan tiga kes.

Menurutnya, dua kes jatuh jambatan dicatatkan berlaku di Jambatan Salor, Pasir Mas manakala tiga lagi kes masing-masing di Jambatan Tok Bali, Jambatan Pok Nik Lah dan Jambatan Wakaf King.

“Kejadian yang direkodkan itu bermula 15 November 2021 di Jambatan Sultan Yahya Petra sehingga semalam di Jambatan Tendong.

“Kes terbaharu yang dilaporkan adalah kehilangan seorang peniaga produk kosmetik, Norhisyam Ismail, 43, yang terjatuh pada ketinggian lima meter ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di Jambatan Tendong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal memberitahu, sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berwajib memasang penghadang di semua jambatan di negeri ini bagi mengelak sebarang kejadian sama berulang.

Katanya, cadangan itu merupakan satu usaha untuk menyelesaikan masalah individu terjatuh ke dalam sungai agar tidak terus berterusan.

“Kita tidak tahu punca mangsa bertindak sedemikian sama asa mempunyai masalah peribadi atau kesihatan sebelum terjatuh dari jambatan.

“Justeru, saya berharap pihak berkaitan dapat mengambil idea dan pandangan saya untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan seorang peniaga produk kosmetik sempat menghubungi bapa mentuanya agar datang mengambil keretanya yang rosak sebelum dia terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini semalam.

Kejadian tersebut merupakan kes kedua dalam tempoh sebulan selepas seorang ahli perniagaan yang membuat pelbagai barangan besi dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini pada 19 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI