fbpx

Uqasha Senrose ‘kental’ tak mengidam pelik-pelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UQASHA SENROSE mengakui kehamilan ketiganya ini dipermudahkan da berharap akan terus lancar sehingga tiba waktu bersalin.

PETALING JAYA – Tanpa mendedahkan usia kandungannya, pelakon Uqasha Senrose mengakui tidak mengalami sebarang alahan seperti kelaziman yang dialami ibu-ibu sepanjang kehamilannya.

Ujar pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu, dia bagaimanapun mudah dijangkiti demam, batuk dan selesema terutama apabila kerap berada di luar rumah.

“Alhamdulillah. Sejak hamil, saya tidak alami sebarang alahan seperti ibu-ibu hamil yang lain. Makan dan bau semuanya okey.

“Cuma saya mudah dijangkiti demam, batuk dan selesema sahaja. Kalau duduk di sebelah orang yang demam, saya mudah berjangkit. Mungkin sebab antibodi badan agak lemah sewaktu hamil,” katanya.

Selain tidak mengalami alahan, pelakon berusia 32 tahun itu juga tidak berdepan dengan masalah mengidam sesuatu yang pelik sehingga terpaksa menyusahkan orang lain.

“Saya juga tidak alami masalah mengidam yang pelik-pelik. Kalau nak makan apa-apa, boleh dapat di mana-mana sahaja dengan mudah,” katanya.

Tambah Uqasha, apabila disahkan hamil buat kali ketiga selepas mengalami dua kali keguguran, dia berharap agar kandungannya kali ini sihat, cukup sifat dan dipermudahkan urusan ketika bersalin nanti.

“Selepas sekali lagi disahkan hamil, saya tidak fikir apa pun, selain berharap agar bayi saya sihat, cukup sifat dan urusan bersalin nanti dipermudahkan,” katanya.

Semalam, Uqasha mengumumkan bakal bergelar seorang ibu tidak lama lagi setelah dua tahun mendirikan rumah tangga.

“Syukur Ya Allah. Alhamdulillah, rezeki manusia berbeza-beza dan ini antara rezeki paling besar buat Qasha.

“Nervous (berdebar) dari nak menjadi isteri, sekarang berdebar untuk menjadi seorang ibu pula,” tulis isteri pelakon Kamal Adli itu menerusi Instagram.

Uqasha menjelaskan, dia memilih untuk merahsiakan kehamilan kali ini kerana bimbang sebarang kemungkinan kerana pernah keguguran sebelum ini.

“Ramai yang tanya kenapa Qasha tidak jawab-jawab sebab dah (pernah) gugur jadi saya takut. Oleh itu, lebih baik saya sendiri yang cakap,” jelasnya yang pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali pada 2022.

Uqasha mendirikan rumah tangga bersama Kamal Adli pada 5 November 2021

Bintang drama Akira Khan itu juga sempat meluahkan rasa sedihnya apabila ramai pihak yang menuduh keluarganya sukar untuk memiliki zuriat.

Berita kehamilan ini cukup menggembirakan dirinya dan secara tidak langsung turut membersihkan reputasi keluarganya yang tercalar akibat tuduhan tidak berasas khalayak.

“Jujur Qasha sedih bila orang cakap kenapa keluarga Senrose semua tidak ada zuriat, jadi apabila dapat tahu (berita kehamilan) Qasha bahagia sangat sebab aturan Allah itu dia yang maha mengetahui. Jodoh, ajal, maut dan rezeki semua dari Allah,” kongsi kakak pelakon Nelydia dan Raysha Senrose itu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI