PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-19 dan Third South Summit of the Group of 77 and China (G77+China) di Kampala, Uganda selama enam hari bermula 17 Januari ini.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Mohamad akan menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sesi Debat Umum Sidang Kemuncak NAM dan Third South Summit.
“Kenyataan Malaysia antara lain akan menekankan keperluan untuk mengukuhkan perpaduan dan solidariti di kalangan negara-negara membangun NAM dan G77+China, serta memantapkan proses pelbagai hala.
“Mohamad juga akan menyentuh isu-isu utama global dan serantau, termasuk situasi di Palestin, Laut China Selatan, Islamofobia, Agenda Pembangunan Mampan 2030, tindakan iklim, dan reformasi Institusi Kewangan Antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelas kenyataan itu, sebagai ahli Jawatankuasa NAM mengenai Palestin, Malaysia juga akan mengetengahkan pendirian negara berhubung isu Palestin.
“Ini bagi memperjuangkan hak penentuan nasib sendiri dan kenegaraan mereka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Serta mengheret Israel ke muka pengadilan untuk genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, kehadiran Mohamad dan penglibatan aktif Malaysia di NAM dan G77+China mencerminkan komitmen negara dalam mengukuhkan Kerjasama Selatan-Selatan.
“Ini memberi peluang untuk Malaysia meneroka kerjasama menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang berada di bawah seliaan Kementerian Luar,” ujarnya.
Pada sidang kemuncak itu juga, Mohamad dijangka bertemu rakan sejawatnya termasuk dari rantau Afrika, bagi menilai dan mengorak langkah-langkah strategik hubungan dua hala dengan negara-negara berkaitan. – KOSMO! ONLINE