fbpx

Suami isteri dijel 5 tahun kes amang seksual sepupu OKU 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan tersebut dibawa anggota polis selepas dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Klang hari ini. FOTO: FARIZ RUSADIO

KLANG – Perbuatan keji sepasang suami isteri melakukan amang seksual terhadap sepupu perempuannya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) lembam berusia 14 tahun membawa padah apabila dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Noridah Adam memutuskan demikian selepas kedua-dua tertuduh termasuk seorang daripadanya sumbing yang berusia 33 dan 36 tahun mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan dihadapi mereka.

Pada prosiding itu, Noridah menjatuhkan hukuman masing-masing lima tahun kepada pasangan tersebut atas pertuduhan menyentuh dada mangsa selain penjara dua tahun kerana menyebabkan mangsa memerhati perbuatan mereka. Si suami turut dipenjara setahun atas kesalahan menyimpan video lucah.

Hukuman bagaimanapun diarahkan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 1 Disember lalu dengan masing-masing di Penjara Kajang dan Sungai Buloh.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan selain pengawasan selama dua tahun selepas hukuman penjara itu.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu masing-masing didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang dada remaja perempuan itu bagi tujuan seksual.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.

Pasangan itu juga didakwa secara bersama melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menyebabkan remaja berkenaan memerhati perbuatan bersifat seksual mereka.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15 (d) AKSTK 2017 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Lelaki tersebut melakukan kerja-kerja kampung juga didakwa satu lagi pertuduhan menyimpan beberapa video lucah di dalam telefon bimbitnya dan dengan itu boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pasangan suami isteri tersebut telah menghantar pesanan aplikasi WhatsApp kepada mangsa yang merupakan sepupunya agar datang ke rumah mereka untuk melipat baju.

Mangsa yang hadir kemudiannya telah diarahkan melipat baju di dalam bilik sebelum berlakunya amang seksual tersebut.

Pasangan tersebut yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan penjara dijalani serentak daripada tarikh ditangkap sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul ‘Izzati Mohamad bagaimanapun menegaskan agar hukuman berat mengambil kira kes seksual dilakukan tertuduh selain kes seumpama yang banyak berlaku khususnya di Selangor.

“Hubungan tertuduh lelaki dengan mangsa adalah sepupu. Mereka telah memecahkan kepercayaan mangsa dan keluarganya dengan melakukan perbuatan terkutuk. Harap hukuman dapat diberikan pengajaran kepada masyarakat awam dan tertuduh agar tidak melakukan perbuatan keji itu,” katanya.

Kosmo! pada 8 Disember lalu melaporkan sepasang suami isteri dengan seorang daripadanya sumbing berdepan penjara sehingga 30 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI