PETALING JAYA – Seorang wanita tampil pertahankan dirinya selepas pelbagai tohmahan tidak berasas netizen dilemparkan kepadanya, mendakwa dirinya mengambil kesempatan.
Baru-baru ini tular satu video di aplikasi TikTok berkenaan seorang pencipta kandungan yang mendatangi seorang wanita dan mempelawanya untuk berbelanja apa sahaja yang wanita itu mahu asalkan barang tersebut melebihi harga RM250.
Berdasarkan video tular itu, wanita tersebut telah meminta pencipta kandungan tersebut untuk membelikannya sebuah ‘Macbook’.
Berikutan itu, wanita di dalam video tersebut telah menerima kecaman dan tuduhan tidak berasas seperti ‘kaki kikis’ di ruangan laman sosialnya sehinggakan membuatkan wanita itu tidak betah dan memperjelaskan isu tersebut.
Menerusi video yang dimuat naik oleh wanita tersebut, @MEvapearl di laman X, dia membuat perakuan bahawa dirinya diupah RM100 untuk berlakon bersama dalam kandungan video yang dibuat.
“Komen-komen di dalam laman X lagi teruk daripada TikTok. Saya kena kecam teruk sampaikan ada yang kata saya tidak sedar diri, gemuk, malas bekerja, kaki kikis sampai ‘pau’ orang luar macam itu.
“Saya pun tak sangka benda ini akan tular. Seandainya mereka (netizen) tahu yang semua ini hanya ‘content’ (kandunga video) semata. Saya dapat upah RM100 je untuk mereka (pencipta kandungan) buat ‘content’.
“Saya sedih tengok komen-komen yang negatif tentang saya. Yang tahu je tahu ini cuma ‘content’ semata-mata,” tulisnya menerusi ciapan di laman X.
Tambahnya, dia turut berterima kasih kepada pengguna lain yang masih bersikap positif mengenai hal ini.
Dalam perkembangan terbaharu, pencipta kandungan tersebut telah menurunkan video tersebut dan meminta maaf kepada wanita itu di atas kesulitan yang dihadapi. – KOSMO! ONLINE