JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000 sebagai dorongan tidak menahan seorang wanita berhubung kes pecah amanah, dua tahun lalu.
Tertuduh, S. Usha Nantiny, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut kertas pertuduhan, anggota polis yang masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, telah secara rasuah memperoleh untuk suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak menahan isterinya.
Tindakan itu sebagai dorongan supaya tidak menjalankan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Segamat.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 4.50 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil pada 28 Ogos 2022.
Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.
Ibu kepada dua anak itu boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam, S. Selvantheran.
Pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah supaya diberikan jaminan yang tinggi berjumlah RM15,000 kerana ia merupakan satu kesalahan yang berat berserta beberapa syarat tambahan.
Sementara itu, Selvantheran memberitahu tertuduh yang hadir ke Mahkamah pada hari ini bersama suaminya hanya mampu membayar jaminan sebanyak RM8,000.
“Jaminan yang ditawarkan adalah di luar kemampuan tertuduh, wanita itu masih berkhidmat di IPD Segamat dan mempunyai tanggungan dua orang Anak berusia lima dan enam tahun serta ibu bapa mertua,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikatkan jamin berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin, perlu menyerahkan pasport kepada Mahkamah serta melaporkan diri ke Pejabat SPRM Segamat setiap bulan.
Tarikh 24 Mac ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE