fbpx

Sanusi perlu jaga percakapan elak hubungan tegang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin.

ALOR SETAR – Ungkapan ‘barua’ yang dilontarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ke atas agensi kerajaan tidak menggambarkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seorang pemimpin harus menunjukkan sikap yang elok termasuk menjauhkan diri daripada mengungkap perkataan tidak sewajarnya.

“Saya sebenarnya cuba menjarakkan diri lah (tidak mahu membuat kenyataan tentang ini). Kita dalam proses pilihan raya sudah selesai dan rakyat sudah buat keputusan, saya Muslim (beragama Islam) yang mana agama mengajar saya akhlak, adab, akidah dan syariat.

“Jadi pilihan untuk berkata-kata ini saya fikir biar kita hati-hati lah ya. Perkataan-perkataan yang seumpama itu ungkapan yang baharu itu (barua) atau yang sebelumnya itu biarlah kita elakkan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit di Kuala Sungai, di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang kenyataan Muhammad Sanusi baru-baru ini yang mengingatkan agensi kerajaan supaya tidak menjadi barua atau orang suruhan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah RM6 juta melibatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Mengulas lanjut kata Setiausaha Agung PKR itu, Muhammad Sanusi juga perlu menjaga percakapannya untuk memastikan tiada ketegangan dalam hubungan antara kerajaan negeri dan agensi berkenaan.

“Seorang pemimpin itu harus menunjukkan sikap yang lebih cantik lah, itu lebih kondusif. Saya fikir untuk menjaga hubungan ke depan nanti ya itu lebih baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI