fbpx

Rayuan Rosmah cabar pelantikan Sri Ram ditetapkan 26 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 26 Mac ini bagi mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor, untuk mencabar pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut peguam itu, berikutan tarikh terkini pendengaran di Mahkamah Persekutuan itu, justeru tarikh baharu prosiding rayuan Rosmah untuk mengetepikan sabitan kes rasuah, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta masih tidak ditetapkan di Mahkamah Rayuan.

“Sebutan kes itu di Mahkamah Rayuan hari ini dijadualkan semula pada 8 Februari depan, hanya ada sebutan kes dan tiada tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan ditetapkan setakat ini. Kena dengar rayuan di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu sebelum tetapkan tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Pada 7 Julai tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy, membenarkan permohonan Rosmah, untuk menangguhkan prosiding rayuan.

Keputusan itu selepas seorang lagi peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, memaklumkan permohonan itu dibuat dengan niat baik tanpa melengahkan prosiding rayuan itu, selain menegaskan rayuan di Mahkamah Persekutuan perlu dilupuskan terlebih dahulu.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan selama empat hari bermula 11 Julai tahun lalu untuk mendengar rayuan berkenaan.

Pada 22 Jun 2023, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah, 73, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Rosmah hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, selain didenda RM970 juta.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI