ELEMEN psikologi wajar dijadikan ‘senjata rahsia’ buat Harimau Malaya untuk merentap ego pasukan Arab memandangkan negara dari Asia Barat itu sering memandang rendah keupayaan lawan yang berada di ranking lebih bawah.
Selain menyiapkan pasukan daripada aspek taktikal dan teknikal, mental pemain juga perlu berada di tahap tertinggi khususnya untuk hadapi dua perlawanan awal Kumpulan E bertemu Jordan, awal pagi esok dan Bahrain, Sabtu ini.
Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee yang pernah mengetuai pasukan negara tewaskan negara Asia Barat turut mengakui perkara ini, namun ‘serangan psikologi’ wajar dibuat mengikut situasi semasa ketika perlawanan.
“Dulu memang mereka (negara Asia Barat) ambil mudah ketika lawan pasukan lebih rendah, tetapi kalau dilihat kepada prestasi sekarang memang sudah berbeza. Untuk pastikan kita tidak dibuli, hanya keputusan saja mampu ubah persepsi itu.
“Kita tahu mereka boleh buat provokasi kepada kita pada bila-bila masa dan paling penting kita jangan ‘termakan’ provokasi sebaliknya fokus kepada perancangan pasukan. Kalau mampu dapatkan gol awal, ia pasti akan beri tekanan kepada pasukan lawan.
“Pemain kita pun sudah matang dan berpengalaman, kalau mahu lakukan provokasi kita kena lihat kepada situasi,” katanya.
Penggempur negara, Faisal Halim yang memiliki ketajaman di hadapan gawang lawan didakwa turut memiliki kepakaran untuk melakukan kerja-kerja ‘menyerang’ psikologi lawan dan mencetuskan provokasi.
Ketika menyarung jersi Terengganu, pemain bertubuh kecil itu pernah ‘dicekik’ oleh Azamuddin Akil dan Hadin Azman, malah mencetuskan ‘tandukan ala Zinedine Zidane’ oleh bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim kerana provokasi yang dilakukan.
Sementara itu, pengendali PDRM FC, Datuk Yunus Alif percaya Faisal atau Mickey boleh memainkan peranan berbeza untuk ‘kacau mental’ pemain lawan.
“Walaupun dia bertubuh kecil, ada kualiti dan jika beberapa kali dia mampu lepasi kawalan saya percaya pemain lawan akan mula melakukan terjahan. Jadi daripada situ juga kita boleh dapat manfaat daripada situasi bola mati,” katanya.