PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menyambut perayaan Ponggal kepada seluruh komuniti Tamil di Malaysia.
Perdana Menteri berkata, perayaan yang diraikan selama empat hari itu adalah perayaan budaya bagi menzahirkan rasa syukur, selain bersiap untuk lembaran baharu.
“Saya amat berharap masyarakat Tamil di Malaysia dapat meraikannya dengan kegembiraan serta kebahagiaan dan semarakkan nilai-nilai yang baik, selain terus memperteguh kemajmukan sebagai akar dan kekuatan bangsa,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengucapkan selamat Hari Ponggal kepada rakyat yang menyambutnya hari ini.
“Semoga anda gembira! Semoga perayaan menuai ini membawa kebahagiaan, kemakmuran dan kesihatan yang tidak terbatas kepada anda dan orang tersayang,” tulisnya di Facebook hari ini.
Bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, Hari Ponggal disambut penuh dengan kegembiraan dan memberi makna yang mendalam kepada mereka yang menyambutnya.
Sambutan ini juga katanya, memperlihatkan semangat bersatu padu dan gotong-royong yang terpancar dalam proses memasak Ponggal, simbolik kepada kerjasama dalam meraikan keberlimpahan.
“Sambutan ini turut menyemai semangat kesyukuran dan memperkukuhkan semangat tolong-menolong dalam masyarakat India, sambil mengajak masyarakat pelbagai kaum untuk sama-sama menghargai nilai kekeluargaan.
“Selamat Hari Ponggal kepada masyarakat beragama Hindu yang menyambutnya di Malaysia,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE.