fbpx

Mindef terus pertahan keamanan sejagat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tengah) melambai tangan kepada warga Kementerian Pertahanan di seluruh negara pada sesi siaran langsung sidang video yang menyaksikan Perutusan Tahun Baharu 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan meneruskan strategi dan pendekatan yang telah diamalkan sebelum ini untuk terus meletakkan Malaysia sebagai negara yang komited dan tegas dalam mempertahankan undang-undang, nilai kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, diplomasi pertahanan dan ­penyertaan negara dalam pelbagai forum, misi pengaman serantau sangat kritikal dalam membina pengalaman serta me­nyatakan pendirian Malaysia.

“Selain memastikan kekuatan pertahanan negara dibangunkan melalui perolehan aset dan teknologi terkini, pembangunan bakat terbaik serta kapasiti anggota, pemugaran nilai patriotisme masyarakat, aspek dasar dan pendirian negara dalam isu-isu antarabangsa turut mencerminkan kematangan nuansa pertahanan kita.

“Malaysia adalah sebuah negara kepelbagaian.

“Kita terbentuk dan berdiri atas prinsip hormat-menghormati,” katanya ketika berucap pada majlis Perutusan Tahun Baharu 2024 di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.

Justeru itu, katanya, penerimaan negara terhadap perbezaan dan kerencaman identiti menjadi pasak yang menyuburkan keharmonian serta perpaduan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, di bawah Agenda Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan, negara kita mahu tampil sebagai sebuah masyarakat berdaulat yang mengangkat nilai-nilai unggul.

“Saya berani nyatakan, bahawa perkara tersebut turut terpakai dalam konteks keselamatan dan pertahanan negara.

“Nilai-nilai unggul seperti ihsan, hormat, daya cipta, keyakinan dan kesejahteraan adalah hasil langsung yang terbit daripada sebuah negara yang aman, selamat dan terpelihara,” ujarnya.

Malah, kata beliau, nilai-nilai itulah yang memimpin negara untuk lantang menyanggah perkara-perkara seperti pencerobohan wilayah, penjajahan bentuk baharu, pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai sesuatu etnik, serta pelanggaran hak asasi manusia mahupun prinsip-prinsip keamanan sejagat di bawah undang-undang serta badan antarabangsa.

“Pencerobohan dan kekejaman yang merobek nilai kemanusiaan seperti yang sedang dilakukan ke atas Palestin adalah sesuatu yang bertentangan dengan dasar dan pendirian kita.

“Oleh itu, saya memberi komitmen bahawa dalam memperkemas keupayaan dan integriti pertahanan negara, kita akan terus berpegang dengan prinsip-prinsip penting yang selama ini menjadi citra Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat,” terang beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI