BEIJING – Seorang penumpang sebuah penerbangan China mencetuskan kekecohan apabila meminta tiga tempat duduk kelas pertama tetapi hanya membayar untuk dua tiket.
Portal berita South China Morning Post melaporkan, lelaki itu bertengkar dengan kru kabin ketika penerbangan dari Beijing ke Chengdu pada 30 Disember tahun lalu.
Lelaki itu berkata, disebabkan dia telah membeli dua tiket kelas pertama, dia harus dibenarkan menaik taraf tiket untuk seorang ahli keluarganya daripada kelas ekonomi secara percuma.
Dalam sebuah klip video yang dirakam oleh seorang penumpang bernama Zhao, lelaki itu dilihat dikelilingi sekumpulan orang ramai termasuk pramugari, pengawal keselamatan dan penumpang.
Zhao berkata, pergaduhan itu bermula pukul 11 pagi (waktu tempatan) apabila anak lelaki penumpang itu yang berusia dua tahun mula menangis.
Kanak-kanak itu pada asalnya duduk di kelas ekonomi tetapi lelaki itu meminta kru kabin menaik taraf tempat duduk anaknya kepada kelas pertama.
Apabila permintaannya ditolak dia menjadi marah. Lelaki itu bertegas bahawa dia berada di pihak yang betul dan berhak untuk menaik taraf tiket penerbangannya.
Polis akhirnya tiba dan mengiringi lelaki itu keluar dari pesawat pada pukul 2 petang (waktu tempatan).
Zhao berkata, 300 penumpang lain berasa geram kerana peberbangan itu ditangguhkan selama tiga jam dan mereka terpaksa menempah semula tiket penerbangan. – AGENSI