MELAKA – Lebih 10,000 pekerja terlibat dalam kemalangan dan mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tun Abdul Razak di sini telah kembali bekerja dalam industri mengikut kemampuan masing-masing.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sejak pusat rehabilitasi itu dibuka pada 2014, seramai 15,214 individu telah menerima rawatan dengan 70 peratus daripadanya berjaya dipulihkan dan telah kembali bekerja.
Menurutnya, jumlah tersebut merupakan hasil keberkesanan kemudahan disediakan di pusat tersebut, selain penyediaan pelbagai program melibatkan latihan vokasional kepada pesakit.
“Ini adalah manifestasi kementerian dalam memperjuang kebajikan pekerja di Malaysia bertepatan dengan tiga indikasi utama kementerian merangkumi pengukuhan kebajikan pekerja, peningkatan kemahiran serta keberhasilan pekerja.
“Di pusat rehabilitasi ini sahaja, dalam 10 tahun ini lebih 15,000 individu telah mendapatkan rawatan dan 70 peratus daripada mereka berjaya pulang balik ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh, hari ini.
Tambahnya, Perkeso juga sedang dalam perancangan untuk menaik taraf pusat tersebut merangkumi pembinaan Jabatan Neuromodular yang baharu dan asrama pesakit.
Mengulas lanjut beliau berkata, susulan kejayaan itu, pihaknya menyokong usaha Perkeso untuk membina tiga lagi pusat rehabilitasi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Sekarang ini hanya ada sebuah sahaja pusat rehabilitasi, manakala di Ipoh, Perak pula akan beroperasi pada tahun ini dan Terengganu sedang dalam pembinaan.
“Saya juga nak lihat dalam tempoh lima tahun lagi ada tiga pusat rehabilitasi baharu termasuk di Sabah dan Sarawak, kita nak lihat supaya Perkeso boleh kembangkan perkhidmatan ini (di seluruh negara),” ujarnya.-KOSMO! ONLINE