KOTA BHARU – Seorang peniaga dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Kelantan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.48 malam sebelum 18 orang anggota termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pusat gerakan operasi menerima panggilan daripada pihak polis berhubung kejadian itu dan mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong ke lokasi untuk tindakan.
“Siasatan mendapati, mangsa yang dikhuatiri lemas dikenali sebagai Norhisyam Ismail, 43.
“Selain anggota PPDA Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa, Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan bot Balai Bomba Wakaf Bharu turut bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Sebelum ini, seorang ahli perniagaan yang membuat pelbagai barangan besi dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini pada 19 Disember lalu.
Selepas dua hari hilang, mayat mangsa, Mohd. Zulhilmi Mohd. Zamri, 37, dijumpai pada pukul 9.15 pagi di jeti Pok Heng berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini.
Mayat mangsa ditemui pada jarak lapan kilometer dari lokasi dia terjatuh di Jambatan Tendong. – KOSMO! ONLINE