fbpx

Dua pengarah Emraz didakwa gagal patuh award Tribunal Pengguna lebih RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkarnain dan Mazuin ketika keluar dari Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Dua pengarah Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. yang juga pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan jumlah RM589,031, tahun lalu.

Bagaimanapun Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan isterinya Datin Mazuin Mustafa, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-63, syarikat itu, Zulkarnain dan Mazuin sebagai OKS pertama hingga ketiga didapati masing-masing atas 21 pertuduhan gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan supaya membayar RM589,031 kepada 21 individu yang merupakan pihak yang menuntut.

Kesalahan dilakukan di Pejabat TTPM di Aras 5, Podium 2, No 13, Persiaran Perdana Presint 2, di sini antara 8 Jun hingga 25 Ogos 2023.

Bagi semua kesalahan itu, kedua-dua OKS dan syarikatnya didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd . Sophian Zakaria memohon mahkamah memberikan ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Kedua-dua OKS juga perlu melapor diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali setiap bulan,” kata Mohd. Sophian.

Bagaimanapun peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili semua OKS membantah jumlah ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan dengan berpendapat ia jumlah yang membebankan untuk masing-masing 21 pertuduhan.

Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Majistret Irza Zulaikha membenarkan Zulkarnain dan Mazuin diikat jamin RM6,300 bagi kedua-dua OKS selain syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 26 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Pada 23 November tahun lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati syarikat itu menggunakan duit jemaah kumpulan kedua dan ketiga bagi menampung kos jemaah umrah kumpulan pertama.

Tindakan itu dipercayai antara punca berlakunya kegagalan beberapa jemaah yang menggunakan khidmat syarikat itu untuk ke tanah suci sehingga membawa beberapa siri laporan polis dalam kalangan mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima 399 laporan berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah oleh syarikat terbabit kerugian bernilai RM14.2 juta.

Kes itu kemudian mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang kemudian mengarahkan
lesen syarikat Emraz digantung selama enam bulan berkuat kuasa hingga hari ini.

King Sing berkata, perkara itu diputuskan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI