WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan hilang sabar dengan Benjamin Netanyahu selepas Perdana Menteri Israel berkenaan enggan mematuhi beberapa permintaan Washington berhubung konflik di Gaza.
Memetik pegawai-pegawai AS yang mempunyai pengetahuan dalam perkara tersebut, laman berita Axios melaporkan kelmarin bahawa barisan penasihat kanan pentadbiran Biden semakin kecewa dengan kedegilan Netanyahu.
“Situasi semasa amat buruk dan kami menjadi buntu. Kesabaran Presiden (Biden) semakin tipis,” kata seorang pegawai di Washington.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa Biden tidak bercakap dengan Netanyahu sejak 20 hari lalu selepas panggilan telefon terakhir mereka berlangsung pada 23 Disember 2023.
Perbualan telefon tersebut disifatkan sebagai tegang. Biden yang kecewa, mengakhiri percakapannya dengan Netanyahu dengan berkata: “Perbualan ini telah berakhir.”
Kedua-dua sekutu itu dikatakan bercakap hampir setiap hari sepanjang tempoh dua bulan pertama perang di Gaza tercetus.
“Terdapat kekecewaan yang besar,” kata pegawai lain kepada Axios.
Menurut laporan tersebut, punca utama Biden kecewa adalah keengganan Netanyahu untuk memenuhi permintaan yang menjadi keutamaan Washington.
Sebagai tambahan kepada pelepasan hasil cukai Palestin yang disekat oleh Israel, Biden dan penasihatnya percaya Rejim Zionis tidak melakukan secukupnya untuk membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza.
Washington juga kecewa kerana Netanyahu enggan membincangkan secara serius mengenai perancangan Gaza selepas perang berakhir.
Dia dikatakan menolak rancangan AS membentuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk berperanan mentadbir Semenanjung Gaza selepas Hamas ditumpaskan.
Pegawai AS juga dikatakan bimbang Israel tidak akan mematuhi jadual untuk mengecilkan operasi ketenteraan di Gaza menjelang akhir bulan ini berdasarkan keadaan semasa terutamanya di bandar Khan Younis, selatan Gaza.
Sekiranya Israel tidak memperkecilkan operasinya di Gaza seperti yang didesak Washington, ia menjadi semakin sukar buat Biden untuk mengekalkan tahap sokongan yang sama kepada kempen ketenteraan Israel.
Dalam pada itu, Lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ke Israel minggu lalu hanya menambahkan lagi kekecewaan White House, kata pegawai AS yang bercakap kepada Axios.
Menurutnya, Netanyahu sememangnya bersetuju membenarkan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki utara Gaza bagi menilai keperluan untuk membenarkan penduduk Palestin kembali ke wilayah berkenaan pada masa akan datang. Namun, ia satu-satunya permintaan yang dipersetujui
olehnya.
Sementara itu, Senator daripada Parti Demokrat, Chris Van Hollen berkata: “Pada setiap masa, Netanyahu tidak mengendahkan permintaan Biden. Washington merayu kepada kerajaan gabungan Netanyahu tetapi mereka ‘ditampar di muka’ berulang kali.”
Tambah Hollen, buat masa ini, Netanyahu lebih memilih untuk mendengar nasihat menteri berfahaman ekstrem dalam Kabinetnya iaitu Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich berbanding saranan Biden. – AGENSI