PETALING JAYA – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyokong diwujudkan Akta Penggal Tetap Parlimen sebagaimana yang dicadangkan beberapa pihak sejak beberapa hari lalu.
Bersih melalui satu kenyataan berkata, akta tersebut amat diperlukan bagi mengelak terjadinya kerajaan silih berganti dalam tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum diadakan.
“Bersih sebelum ini telah beberapa kali membuat gesaan yang sama bagi menstabilkan politik Malaysia dan berpandangan Akta Penggal Tetap Parlimen ini penting bagi memastikan kestabilan politik negara yang akan membantu melancarkan usaha reformasi demi kepentingan rakyat.
“Akta ini tidak akan menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi perkenan pembubaran Parlimen sekiranya diminta oleh Perdana Menteri seperti yang dinyatakan dalam Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, berdasarkan akta berkenaan, sebarang tatacara membabitkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di dalam Parlimen berasaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan harus dinyatakan dengan jelas agar sebarang langkah terkemudian yang bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen tidak lagi berlaku.
“Sebagai tambahan kepada Akta ini, pengenalan kepada mekanisme kepercayaan di Dewan Rakyat dengan dua prosedur iaitu Undi Tidak Percaya Berkonstruktif, iaitu hanya membenarkan penyandang Perdana Menteri ditukar sekiranya ada calon PM untuk digantikan dan calon itu disahkan pula dengan mekanisme Undi Pengesahan Kepercayaan.
“Bagi menjayakan saranan ini, Bersih menyarankan agar kesemua blok politik untuk bergerak ke hadapan bekerja untuk menambahbaik gerak kerja yang memberi manfaat kepada rakyat dan menghentikan permainan politik merugikan masa depan negara,” kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, pertubuhan tersebut juga berharap pihak kerajaan dan pembangkang selepas ini akan merundingkan hal berkenaan sebagaimana mereka berjaya meluluskan Akta Anti Lompat Parti secara konsensus pada 2022 lalu.
Selain itu, Bersih turut mencadangkan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan – Constituency Development Fund Act (CDF) yang saksama kepada Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang disertakan dalam pembaharuan undang undang berkenaan.
Hal itu, katanya, bagi memastikan hak dan keadilan untuk semua Ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang. – KOSMO! ONLINE.