TOKYO – Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan All Nippon Airways (ANA) terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang di Jepun selepas kesan retakan ditemui pada tingkap kokpit ketika berada di udara.
Badan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, keretakan itu dikesan pada bahagian paling luar empat lapisan tingkap yang mengelilingi kokpit.
Pesawat Boeing 737 itu ketika kejadian sedang melakukan perjalanan dari bandar Sapporo di Hokkaido ke Toyama di pulau utama Jepun, Honshu.
Pesawat itu kemudian mendarat semula di lapangan terbang New Chitose di Sapporo sekitar pukul 12.10 tengah hari (waktu tempatan).
Jurucakap ANA berkata, keretakan itu ditemui ketika pesawat tersebut melepasi bandar Hakodate. Terdapat 59 penumpang dan enam anak kapal di dalam pesawat itu ketika kejadian.
“Keretakan itu tidak menjejaskan kawalan atau tekanan dalam pesawat,” katanya.
Seorang pakar penerbangan, John Strickland memaklumkan bahawa punca keretakan itu masih belum dikenal pasti.
Menurut Strickland, syarikat penerbangan tersebut mungkin perlu menggantikan keseluruhan tingkap, bukan hanya lapisan yang pecah untuk memastikan pesawat itu selamat sepenuhnya.
Kejadian itu merupakan insiden kedua membabitkan pesawat model Boeing 737 dalam tempoh beberapa minggu.
Bagaimanapun, pesawat itu bukan salah satu daripada pesawat Boeing 737 MAX 9 yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas panel pintunya terjatuh ketika penerbangan. – AGENSI