PETALING JAYA – “Saya hanya ekspresikan diri sendiri.”
Masih belum selesai, kali ini aktres Fatiya Latiff bertegas tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur provokasinya, termasuk melabelkan wajah pelakon Zahirah MacWilson seperti pembantu rumah adalah disebabkan rasa dendam terhadap komen netizen yang kerap membanding-bandingkan dirinya dengan isteri Aiman Hakim Ridza itu.
Mempertahankan dirinya, pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff, 36, itu berkata Zahirah layak dipanggil pembantu rumah atau bibik dek penampilan aktres itu sendiri.
“Saya tidak lagi mencintai Aiman tetapi mempunyai dendam terhadap Zahirah. Semuanya bermula apabila ada komen dalam TikTok yang memberitahu Zahirah lebih bagus daripada saya.
“Saya cuma jujur dan bagi saya, dia memang nampak seperti seorang bibik tetapi yang cantik.
“Saya tidak rasa perkara itu satu masalah dan tak cakap dia hodoh pun sebaliknya hanya kelihatan seperti seorang bibik malah ada yang menyokong tentang hal itu,” katanya dalam temu bual bersama Caprice.
Tidak merasakan tindakannya salah, dia memberitahu semua dimuat naik dalam media sosial adalah cara untuk mengekspresikan setiap perkara yang dirasainya.
“Setiap kali kita muat naik sesuatu dalam media sosial, kita hanya ingin kongsi sahaja tanpa memikirkan tentang tanggapan orang.
“Saya hanya ekspresikan diri sendiri. Apa yang saya kongsi juga tidak melanggar undang-undang atau akta,” jelasnya yang pernah membintangi drama Menanti Februari.
Menjawab kerisauan ramai mengenai keadaan kesihatan mentalnya, Fatiya berkata dia hanya mengalami stres dan bukan depresi.
“Saya tidak perlukan kawan. Ya, saya juga ada bertemu dengan psikiatri dan mereka maklumkan saya okey dan hanya mengalami sedikit stres.
“Ada juga jumpa psikiatri baru-baru ini dan selalu kemas kini tentang kesihatan mental diri sendiri pada psikiatri.
“Semua itu bagi memastikan kesihatan mental saya dalam keadaan yang baik. Saya tidak depresi tetapi hanya stres,” katanya lagi.
Baru-baru ini, nama Fatiya meledak dalam media sosial apabila menggelar Zahirah sebagai bibik dan menuduh aktres itu melakukan pembedahan plastik pada bahagian bibir.
Bukan itu sahaja, dia juga mula mengundang kemarahan ramai apabila memuat naik foto bersama Aiman dan mendakwa aktor itu masih lagi mencintai dirinya.
Meskipun begitu, ramai mula melahirkan kerisauan terhadap kesihatan mental Fatiya dan berharap dia segera mendapatkan bantuan. – KOSMO! ONLINE