JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar yang didakwa melakukan kekerasan fizikal terhadap seorang awam, baru-baru ini telah dipindahkan ke jabatan lain.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, langkah itu diambil sementara menunggu hasil siasatan dalaman yang dilakukan pihaknya.
Menurut beliau, tindakan sewajarnya akan dibuat mengikut undang-undang selepas siasatan selesai dijalankan dengan telus.
“Ketua polis balai itu dipindahkan ke satu jabatan lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, sementara siasatan dijalankan dan jabatan itu juga tidak memerlukan dia berurusan dengan orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kelmarin, Polis Johor mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan akan menyiasat sarjan mejar itu susulan rakaman video berdurasi 37 saat yang tular di media sosial.
Kamarul Zaman memberitahu pihaknya akan menyiasat perkara itu dengan terperinci dan menggesa orang awam atau saksi kejadian untuk tampil membuat laporan.
Berdasarkan rakaman video yang tular, kelihatan seorang individu lelaki mengasari seorang lelaki lain yang sedang duduk di dalam sebuah restoran. – KOSMO! ONLINE