PETALING JAYA – Pelawak dan pengacara, Azrul Zaidi menyifatkan politik kerja dalam dunia penyiaran radio lebih kejam berbanding stesen televisyen.
Azrul atau Asrul Zaidi Jamaluddin, 49, berkata, sepanjang bergelar penyampai radio di beberapa stesen popular, dia pernah berdepan situasi ditamatkan kontrak seperti dilalui bekas penyampai Suria FM, Tyzo baru-baru ini.
“Terkejut tetapi perkara yang terjadi pada Tyzo itu pernah berlaku kepada penyampai radio lain yang pernah ‘hilang’ tiba-tiba apabila waktu bersiaran sehingga mencetuskan banyak persoalan.
“Sebenarnya itu semua adalah percaturan pihak stesen radio yang mungkin hendak menjaga rating, klien atau sebagainya.
“Menariknya, kerja di radio tidaklah sukar tetapi politik di stesen radio lebih kejam berbanding di stesen televisyen seperti dilalui Tyzo,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Azrul juga pernah melalui situasi ditamatkan kontrak sebagai penyampai radio serta-merta.
“Ketika itu saya datang ke tempat kerja untuk bersiaran tetapi tiba-tiba dimaklumkan pihak pengurusan bahawa itu adalah hari terakhir saya bekerja tanpa alasan kukuh.
“Ada juga pengalaman saya menggantikan seorang penyampai radio yang meninggal dunia tetapi selepas dua minggu bersiaran, saya tidak menerima sebarang bayaran dengan alasan ingin menguji kemampuan saya,” kongsinya.
Azrul yang juga bekas peserta program Raja Lawak juga menjelaskan, setiap individu perlu sentiasa bersangka baik dengan aturan rezeki Tuhan walaupun harus menelan kepahitan hidup.
“Apabila sudah terlibat dalam dunia seni, jiwa perlu kental dalam segala aspek.
“Perlu bersedia menghadapi segala-galanya. Memang reda tetapi adakalanya cara sesuatu perkara itu berlaku tidak kena.
“Kepada sahabat yang pernah melalui situasi sebegini, tidak kiralah kerja apa pun, teruskan bersangka baik dan percaya dengan rezeki. Bukan semua kerja glamour itu penuh dengan keseronokan,” ujarnya.
Kelmarin, industri penyiaran radio dikejutkan dengan pengumuman perkhidmatan tugas Tyzo selepas bersiaran sebagai penyampai Suria FM sejak 2016. Sebelum itu, Tyzo yang mulanya menggunakan nama pentas sebagai Tuah Iskandar menyertai Suria FM pada 2007 dan tamat kontrak pada 2013.
Tyzo yang mengendalikan segmen Suria Petang bersama Sharifah Shahirah mengakui masih mahu terus bekerja di stesen radio tersebut.
Berkat kerja keras selama 25 tahun, Tyzo juga berjaya merampas trofi Penyampai Radio Paling Popular ABPBH ke 35 tahun lalu daripada DJ Lin yang pernah memenangi kategori tersebut sebanyak empat kali.
Menyertai dunia penyiaran bersama stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004, Tyzo juga menyumbangkan khidmat di Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM. – KOSMO! ONLINE