fbpx

Kira-kira 20,000 rakyat Brunei sanggup berpanas, raikan pengantin diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perarakan pasangan diraja sepanjang ibu kota Brunei, di Bandar Seri Begawan itu disambut meriah lebih 20,000 rakyatnya.

PETALING JAYA – Kira-kira 20,000 rakyat menyambut dan meraikan Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bersama isterinya Dayang Anisha Rosnah di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Menerusi siaran langsung di Radio Televisyen Brunei, orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang menyaksikan pasangan pengantin diraja itu, walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas.

Rakyat Brunei yang kebanyakannya memakai baju berwarna hitam dan putih, sanggup berdiri sepanjang jalan sambil memegang belon-belon ucapan tahniah buat pasangan diraja tersebut.

Difahamkan juga, lebih 14,000 pelajar sekolah turut menyertai sambutan perarakan tersebut dengan mengenakakan pakaian seragam masing-masing.

Perarakan yang bermula sekitar pukul 11.45 pagi itu, menyaksikan ‘Abdul Mateen dan Dayang Anisha menaiki kereta mewah klasik lama Rolls-Royce Phantom V sambil berdiri serta melambai ke arah rakyat Brunei.

Perarakan tersebut turut disertai lebih 30 kereta pengiring yang terdiri daripada kerabat diraja serta hulubalang.

Terdahulu, pasangan diraja itu menyempurnakan Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei di Istana Nurul Iman, Brunei hari ini kira-kira pukul 11.30 pagi.

Dianggarkan lebih 5,000 tetamu termasuk kerabat diraja antarabangsa dan pemimpin politik hadir bagi memeriahkan majlis termasuklah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis Persantapan Diraja pula dijadualkan akan diadakan esok diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI