fbpx

15.8 tan daging khinzir, ayam sejuk beku seludup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daging khinzir sejuk beku yang dirampas di dalam sebuah lori kontena di Kampung Gertak Serong, Pasir Mas, minggu lalu. Foto IHSAN JKDM

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih 15.8 tan daging khinzir dan ayam sejuk beku bernilai RM132,067 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di daerah ini dan Pasir Mas, dekat sini minggu lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis di Jalan Pasir Puteh, Kampung Becah Keranji, di sini, pada 3 Januari lalu dan merampas sebanyak 2.8 tan isi ayam beku.

Menurutnya, anggota JKDM turut menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang berada di premis itu.

“Nilai rampasan itu dianggarkan bernilai RM15,247 termasuk jumlah duti RM6,099. Siasatan mendapati, kesemua daging ayam sejuk beku itu diseludup dari negara jiran menggunakan bot atau sampan.

“Barangan itu kemudiannya dibawa dengan lori atau kenderaan persendirian ke premis untuk ditukarkan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu JKDM mengekori sebuah lori jenis Volvo dari Pengkalan Haram Mentua, Pengkalan Kubor sebelum menahan kenderaan di tepi jalan di Kampung Gertak Serong, Pasir Mas pada 4 Januari lalu.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan itu menjumpai 12.9 tan daging khinzir sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM116,820 termasuk cukai.

“Kedua-dua lelaki itu ditahan dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti pemilik barangan yang dirampas,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, penyeludup membawa masuk daging khinzir sejuk beku tersebut dari negara jiran menggunakan bot atau sampan.

Menurutnya, daging-daging itu kemudiannya dibawa di dalam lori kontena untuk dibawa dan dijual untuk pasaran Pantai Barat Semenanjung, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI