fbpx

TNB sentiasa komited bantu sukan hoki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain yang mewakili pasukan hoki TNB pada musim ini bakal berentap dalam pelbagai kejohanan dalam negeri dan antarabangsa.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan saja syarikat tenaga yang bertanggungjawab ‘menyinari’ kehidupan jutaan rak­yat Malaysia, bahkan penglibatannya dalam sukan hoki sejak tahun 1970 telah banyak memberi sumbangan kepada negara termasuk melahirkan ramai pemain kebangsaan bertaraf dunia.

Menelusuri perkembangan sukan itu, TNB telah menjadi penaja utama liga hoki negara sejak 2006, yang merupakan arena yang menghimpunkan pemain hoki tempatan utama untuk dipilih dan digandingkan dalam skuad kebangsaan.

Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB (TGBS), Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim berkata, sejak tahun 2015, TNB telah memperuntukan kira-kira RM30 juta bagi pembangunan sukan hoki.

Beliau turut menyatakan bahawa penajaan ini bukan hanya sekadar suatu bentuk sokongan kepada sukan hoki negara, tetapi juga merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB.

Beliau berkata lagi, komitmen TNB untuk meneruskan penajaan dalam memastikan liga hoki negara kekal kompetitif dan disifatkan sebagai agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat perpaduan dalam masyarakat.

Semangat ini dapat dilihat melalui kemampuan pasukan hoki Malaysia yang pernah mencapai kedudukan dalam kumpulan 10 terbaik dunia, dan kini berada di tangga ke-12.

“Menerusi Program Thunderbolts, TNB telah berjaya menghasilkan lebih 50 pemain negara ketika ini.

“Selain penajaan bagi skuad hoki negara, TNB turut menyumbang peralatan sukan hoki ke sekolah terpilih sama ada di bandar atau luar bandar dan sehingga kini kira-kira 120 sekolah telah menerima manfaat itu sejak tahun 2019.

“Hasil daripada program itu juga, pada tahun lalu, pasukan hoki TNB telah menunjukkan pres­tasi cemerlang apabila mereka berjaya menjuarai Piala TNB setelah hampir 12 tahun tidak memenangi sebarang kejuaraan dalam Liga Hoki Malaysia TNB,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini banyak kejayaan telah dirangkul pasukan tersebut termasuklah enam kejuaraan berturut-turut sejak 2012-2017 dan empat kejuaraan berganda dalam tempoh 2012 sehingga 2015.

“Dari segi pencapaian semasa, sehingga kini, 15 daripada 25 pemain kebangsaan adalah daripada program pembangunan TNB (Thunderbolts) dan kita juga berjaya menerbitkan buku hoki TNB (The Sticks) sebelum ini.

Sementara itu, Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, pembangunan sukan hoki TNB bermula sejak tahun 2007 menerusi Program Thunderbolts.

Katanya, program tersebut mencungkil bakat pemain hoki sejak di bangku sekolah dan sejak penubuhannya juga sebanyak lima sekolah telah dijadikan anak angkat bagi program itu.

Antara sekolah tersebut adalah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar Johor (SSTMI), Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur (BJSS) dan Sekolah Menengah Seberang Temerloh, Pahang (AHP).

Dua lagi sekolah adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Permatang, Kuala Selangor (PPHT).

Tambahnya, pihak TNB juga sedang merancang untuk mengambil sebuah lagi sekolah di Perlis untuk dijadikan sekolah angkat bagi program Thunderbolts pada tahun ini.

“Menerusi Program Thunderbolts ini, kita telah melahirkan tidak kurang daripada 200 pemain hoki setiap tahun. Pemain ini bukan sahaja mewakili pasukan kebangsaan, tetapi juga mewakili kelab-kelab dalam liga tempatan serta syarikat di tempat mereka bekerja sebagai contoh di Maybank.

“Selain itu, mereka juga turut menjadi guru pembimbing di sekolah. Jadi semua pemain yang dihasilkan menerusi Program Thunderbolts ini telah berjaya mengembangkan lagi sukan hoki di negara kita,” ujarnya.

Lebih membanggakan katanya, pada kempen Kelayakan Olimpik di Muscat, Oman bermula 15 Januari ini, 10 pemain yang tersenarai dalam pasukan kebangsaan adalah lahir daripada Program Thunderbolts.

Jelasnya, antara yang tersenarai adalah Hafizzudin Othman, Syafiq Hassan, Amirul Hamizan Azahar, Nik Aiman Rozemi, Faiz Helmi Jali, Shello Silverius, Fitri Saari, Firhan Ashari, Shahril Saabah dan Azrai Aizad Abu Kamal.

Pemain beraksi pada kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Kita yakin semua 10 pemain ini akan berada di barisan utama dan mereka akan mendominasi posisi masing-masing.

“Secara keseluruhannya, 17 pemain dalam skuad kebangsaan ketika ini adalah daripada Program Thunderbolts.

“TNB bukan sahaja membantu mereka dari segi kewangan, tetapi menyediakan segala kemudahan dan keselesaan buat mereka. Malah TNB juga menyediakan laluan kerjaya selepas mereka ‘bersara’ sebagai pemain.

“Semua pemain ini juga telah kita bimbing sejak mereka berusia 13 tahun dan ketika dibangku sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

NOR SAIFUL (tengah), Syed Mohamad Syafiq (kiri) dan Muhamad Aminudin Mohd. Zain dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Hasil daripada Program Thunderbolts ini jugalah kita dapat lihat sekarang ramai antara mereka yang telah berjaya dalam sukan hoki termasuklah menjadi pemain kebangsaan. Walaupun ia satu perjalanan yang panjang, tetapi hasilnya kini amat membanggakan TNB,” ujarnya.

Dalam pada itu, kapten pasukan hoki TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan berkata, bagi kempen Kelayakan Olimpik 2024, peluang pasukan negara dilihat agak cerah meskipun berada bersama pasukan Great Britain (GB).

“Pasukan negara perlu menang dengan pasukan China dan Pakistan dan sekurang-kurangnya berada di kedudukan kedua dalam kumpulan. Tetapi kalau boleh tewaskan GB lagi bagus.

“Apa yang penting kita tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan terutamanya pasukan Pakistan dan China walaupun ranking mereka lebih rendah. Setiap pemain yang mewakili negara juga mempunyai kekuatan di posisi masing-masing,” katanya.

AHMAD HUSHAIRI

Syed Mohamad Syafiq juga berterima kasih kepada TNB kerana telah banyak membantu sukan hoki di tanah air bermula daripada pembangunan akar umbi menerusi Program Thunderbolts sehingga berjaya melahirkan puluhan pemain kebangsaan.

“Tanpa program akar umbi ini, mungkin sukan hoki kita ini telah lama ‘mati’ dan ketandusan pelapis negara. Tiada syarikat lain yang mahu berhabis jutaan ringgit untuk membangunkan sukan hoki di negara kita.

“Diharapkan program seperti Thunderbolts, klinik-klinik sukan hoki serta penajaan kepada sekolah dan MHC akan diteruskan supaya hoki akan te­rus menjadi sukan utama di negara kita,” katanya.

Barisan pemain yang mewakili pasukan hoki TNB pada musim ini bakal berentap dalam pelbagai kejohanan dalam negeri dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI