PETALING JAYA – Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana warga polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bermasalah dan terbabit dengan aktiviti jenayah, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Kata beliau, tiada kompromi terhadap mana-mana polis terlibat jenayah kerana ia boleh mencemar integriti dan nama baik pasukan itu.
“Kes jenayah membabitkan polis ini hanya melibatkan segelintir pegawai dan anggota sahaja.
“Justeru itu, tindakan tegas dengan kadar segera akan diambil sebelum kertas siasatan itu dihantar ke pejabat peguam agar pendakwaan dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian selepas mengulas tindakan dua anggota polis berpangkat Konstabel dan Lans Koperal yang disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol seorang penuntut sebuah kolej swasta di Bukit Ampang View, di sini, Selasa lalu.
Kenyataan itu turut berkaitan dengan kes seorang ketua polis balai yang didakwa melakukan kekerasan fizikal terhadap seorang orang awam, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Razarudin menegaskan sebarang perlakuan jenayah membabitkan pegawai dan anggota polis akan disiasat secara telus dan berharap masyarakat memberi kepercayaan penuh kepada polis.
Tambah beliau, siasatan melibatkan anggota polis terlibat jenayah tidak akan dilengahkan malah tindakan segera akan diambil.
“Kita tidak berselindung dan akan siasat serta dakwa anggota kita terlibat jenayah berlandaskan undang-undang di negara ini. Tiada siapa boleh terlepas daripada sebarang tindakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.