PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan menawarkan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melibatkan KTM Komuter yang beroperasi 24 jam selama empat hari tiga malam, selain tambang percuma bermula 23 sehingga 26 Januari sempena perayaan Thaipusam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, penambahbaikan tersebut merupakan antara dua daripada lima inisiatif yang dilaksanakan bagi memudahkan pergerakan orang ramai.
“Untuk tambang percuma, ia ditawarkan kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari sahaja.
“Kita menjangkakan seramai 250,000 orang menggunakan KTM Komuter di Lembah Klang sepanjang tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Hari Thaipusam pada 25 Januari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata Anthony Loke, sebanyak 33 perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves dan 39 perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves – Pelabuhan Klang – Batu Caves.
“Perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan bermula seawal pukul 9.55 malam pada 23 Januari dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves dengan kekerapan setiap satu jam.
“Selain itu, tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Stesen Batu Caves akan bermula seawal jam 11.39 malam, juga dengan kekerapan setiap satu (1) jam,” ujarnya.
KTMB juga menyediakan perkhidmatan tambahan baharu bagi pengguna dari Pelabuhan Klang yang boleh mendapatkan trip terus ke Batu Caves selepas 12 tengah malam.
“Tiada perkhidmatan tren tambahan dari Tanjung Malim ke Batu Caves dan sebaliknya.
“Namun, pengguna boleh menaiki tren komuter dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur dan KL Sentral dan membuat pertukaran tren KTM Komuter ke Batu Caves. Alternatif lain adalah dengan mendapatkan MRT Sg. Buloh ke Stesen MRT Kampung Batu,” katanya.
Tambah Anthony, sebanyak 28 stesen akan beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut berbanding 26 stesen pada tahun lepas yang melibatkan Stesen Rembau dan Pulau Sebang.
Menurutnya, bagi memudahkan pergerakan ulang-alik Zon Tengah dan Zon Utara Semenanjung, KTMB turut menawarkan empat perkhidmatan ETS tambahan bermula 24 Januari sehingga 28 Januari.
“Dua perkhidmatan sehari bagi laluan Butterworth – KL Sentral dan KL Sentral – Butterworth pada 24 dan 25 Januari manakala dua perkhidmatan sehari bagi laluan Padang Besar – KL Sentral dan KL Sentral – Padang Besar pada 26 sehingga 28 Januari.
“Pihak Rapid Bus juga akan menyediakan perkhidmatan bas-bas perantara percuma di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 24 dan 25 Januari.
“Jejantas Pejalan Kaki di Stesen Keretapi Batu Caves jug akan dibaik pulih oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC),” katanya. KOSMO! ONLINE