PETALING JAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) sendiri tidak tahu-menahu mengenai gerakan Langkah Dubai yang didakwa akan digunakan bagi menjatuhkan kerajaan.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, spekulasi tersebut yang direka dan dimainkan oleh pihak tertentu, langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Cerita Langkah Dubai terus berada dalam media sosial. Siapa yang mulakan? Siapa yang menggelabah?
“Siapa yang terpaksa buat laporan polis? Siapa yang menjawab bahawa pembangkang tidak ada cukup sokongan? Siapa pula yang minta pembangkang bawa dalam Parlimen?” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa wujud satu gerakan dikenali sebagai ‘Langkah Dubai’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Ismail mendakwa satu pertemuan melibatkan pemimpin PN dengan pihak dalam kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi mengalih sokongan kepada pembangkang.
Dalam pada itu, Hamzah yang juga Setiausaha PN, menegaskan berdendam sesama rakan atau saudara bukan penyelesaian, sebaliknya kerajaan perlu menerima hakikat bahawa mereka juga banyak kelemahan.
“Berita orang bunuh, penceraian, kes kebankrapan semua meningkat. Siasat kenapa. Apakah ‘depression’, sakit mental dan ‘stress’ sudah sampai tahap yang kritikal.
“Apa solusi kepada semua masalah ini? Kenyataan politik semata-mata tidak boleh selesaikan masalah rakyat,” ujarnya.
Justeru, Hamzah berkata, kerajaan perlu memberi keyakinan kepada rakyat dalam mengurus masalah ekonomi, sosial dan keselamatan negara.
“Mencari dan mencipta kekayaan baru negara juga boleh membantu. Kuasa yang ada gunakanlah untuk menyelesaikan kelembapan ekonomi, bukan menakut-nakutkan pelabur.
“Tunjukkan keadilan kepada semua. Jangan sampai rakyat meluat dengan segala janji-janji yang dicanangkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE