KUALA NERUS – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menimbulkan kekecohan pada perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL) melibatkan kelab amatur, NAG FC dan Kesa FC semalam.
Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Jawatankuasa Tatatertib TFL sudah diarahkan menghantar laporan lengkap insiden pergaduhan yang mencederakan seorang pegawai pasukan NAG kepada pihaknya dengan segera.
Beliau menyifatkan insiden tersebut membawa anasir tidak baik yang boleh mencemarkan imej bola sepak Terengganu.
“Insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku dalam kejohanan TLF yang mencungkil bakat baharu. PNSNT memandang serius dan tidak akan berkompromi bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu video pergaduhan dua kelab amatur tersebut yang berdurasi 43 saat tersebut tular di media sosial yang menyebabkan beberapa pemain dan pegawai terlibat mengalami kecederaan termasuk pegawai NAG FC, Ronny Irwan Husni, 46. – KOSMO! ONLINE