PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan Palestin syahid dalam keadaan tangannya masih memegang roti, selepas serangan dilakukan tentera penjajah Israel di Rafah.
Menerusi gambar dan video dikongsikan jurufoto bebas Palestin dikenali sebagai Mahmoud Bassam, kanak-kanak tersebut terkorban di kawasan berdekatan khemah pesakit terlantar.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu bersama keluarga melarikan diri dari kem Al-Bureij untuk ke tempat dikatakan selamat.
Dalam satu video dikongsikan Mahmoud, seorang lelaki yang ditemu bual turut mengecam serangan dilakukan oleh penjajah Zionis Israel yang menyasarkan kanak-kanak Gaza.
“Kanak-kanak perempuan ini terkorban ketika masih lapar, sewaktu dia sedang makan. Dia sedang makan roti, hanya setakat roti kosong.
“Di mana Mahkamah Jenayah Antarabangsa, bagi mereka lihat ini. Beginilah kanak-kanak Gaza mati, mereka mati sewaktu masih lapar sambil memegang roti.
“Di mana orang-orang Islam yang lain? Di mana raja-raja, mana presiden-presiden di seluruh dunia. Tiada siapa melihat apa yang terjadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE