KUALA LUMPUR – Satu undang-undang perlu digubal bagi membolehkan kerajaan yang mentadbir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dapat dikekalkan sehingga satu penggal berakhir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, undang-undang tersebut perlu diwujudkan bagi mengelakkan kesengsaraan rakyat berulang sebagaimana berlaku pada PRU-15, di mana terdapat tiga Perdana Menteri di dalam satu penggal.
Ujarnya, pertumbuhan ekonomi pada ketika itu tidak dapat dipertingkatkan kerana pelabur-pelabur di luar juga perlukan kestabilan politik di samping dunia mengalami pandemik Covid-19.
“Saya sarankan satu RUU (Rang Undang-Undang) dibentangkan, jika sesebuah kerajaan diwujudkan atas sesebuah parti itu dominan atau gabungan antara parti politik itu dominan dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ianya harus kekal hingga ke akhir penggal.
“Jika tidak, kita akan mengalami perkara yang terdahulu (berlaku perubahan kerajaan sebelum penggal berakhir) dan ini tidak baik untuk negara dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sidang akhbar hala tuju strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas merasmikan Program Bengkel Permukiman KKDW 2024, di Hotel Seri Pacific, di sini hari ini.
Berkata lanjut, beliau turut meminta ahli-ahli politik untuk bertindak lebih positif dalam perkara ini.
“Dalam hal ini, kita harus lebih praktikal untuk menjaga sesebuah negara. Kita boleh berbeza pendapat tetapi untuk kepentingan negara, kita tidak harus menjadikan rakyat sebagai satu bahan uji kaji demi kepentingan nafsu politik dalam kalangan ahli-ahli politik.
“Jadi, cukuplah kita belajar daripda pengalaman yang lalu demi negara dan rakyat keseluruhannya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE