THE HAGUE, Belanda – Israel menegaskan semalam bahawa ia tidak berusaha untuk menghapuskan rakyat Palestin sambil menyelar tuduhan penghapusan etnik (genosid) yang difailkan terhadap Rejim Zionis di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini sebagai ‘sangat diputarbelitkan’ dan ‘berniat jahat’.
Afrika Selatan memfailkan kes tergempar tersebut di ICJ dengan alasan Israel mencabuli Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) yang ditandatangani sendiri oleh Tel Aviv pada 1948 selepas tragedi Holokaus.
Pretoria mahu panel hakim ICJ memaksa Israel ‘segera’ menghentikan perang di Gaza yang dilancarkan selepas serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Sekurang-kurangnya 23,469 penduduk Palestin, kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak terbunuh akibat serangan Israel, demikian menurut kementerian kesihatan dikendalikan Hamas di Gaza.
Peguam mewakili Israel, Tal Becker berkata, Afrika Selatan ‘mengemukakan di hadapan mahkamah ICJ gambaran fakta dan undang-undang yang sangat diputarbelitkan.’
Menggunakan video dan gambar, Becker melukis imej grafik tentang kengerian serangan 7 Oktober lalu untuk tatapan panel hakim ICJ.
“Militan (pejuang) Hamas mendera anak-anak di hadapan ibu bapa, ibu bapa di hadapan anak-anak, membakar orang awam dengan ada yang dirogol dan dicacatkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tindak balas Israel adalah untuk mempertahankan diri dan tidak ditujukan kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
“Israel dalam perang pertahanan menentang Hamas, bukan menentang rakyat Palestin,” kata Becker.
“Dalam situasi ini, tiada pertuduhan yang lebih palsu dan lebih jahat daripada dakwaan Israel melakukan genosid,” tambahnya.
Kedua-dua Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat menolak kes itu sebagai tidak berasas dan berikrar mengemukakan hujah pembelaan yang kukuh.
ICJ akan membuat penghakiman dalam masa beberapa minggu lagi atas permintaan Afrika Selatan.
Keputusannya muktamad dan termaktub di sisi undang-undang tetapi ia tiada kuasa untuk menguatkuasakannya. – AFP