AWALNYA kerjaya pemuda itu sebagai tekong bot memancing mendapat tentangan daripada keluarga.
Namun, selepas melihat bagaimana kerjaya itu yang diceburi daripada hobinya sejak kecil membuahkan hasil, persepsi tersebut berubah.
Menurut tekong bot, Raja Muhammad Rezza Raja Rozmi, 38, dia memilih kerjaya itu kerana minatnya terhadap memancing yang diwarisi daripada nenek.
“Nenek memang kaki memancing dan saya selalu mengikut dia serta menolong untuk memasang umpan.
“Lama-kelamaan aktiviti itu menjadi hobi hingga membuatkan saya membeli bot sendiri untuk memancing di laut,” katanya ketika dihubungi K2.
Tambahnya, semasa membeli bot pada tahun 2014, dia tidak pernah terfikir untuk menjadi tekong bot untuk membawa kaki pancing ke laut.
Bagaimanapun, selepas mendapat permintaan daripada kawan supaya membawanya memancing ke laut, khabar tentang perkara itu beredar dari mulut ke mulut hingga aktiviti itu menjadi bidang terjun.
Kongsi pemuda asal Tanjung Sepat, Banting, Selangor itu lagi, sejak tahun 2015, dia sudah memulakan operasi sebagai tekong bot dengan melakukan dua hingga tiga sesi dalam sebulan.
“Pada tahun 2015, saya berhenti seketika menjadi tekong kerana mendapat tawaran kerja sebagai kakitangan kerajaan, tetapi ia cuma bertahan selama setahun.
“Kerana minat terhadap memancing, saya kemudian mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan menyambung kerjaya sebagai tekong sehingga kini,” ujar bapa kepada empat cahaya mata itu.
Berkongsi pengalaman sebagai tekong bot, Raja Muhammad Rezza mengakui bahawa tugasnya bukan sekadar membawa kaki pancing ke laut.
Katanya, terdapat banyak perkara yang perlu diambil perhatian terutama dari aspek keselamatan dan kemahiran.
Paling utama, setiap tekong bot perlu mengambil lesen bot memancing, insurans bot dan juga memenuhi keperluan keselamatan dalam bot seperti jaket keselamatan, peti kecemasan dan seumpamanya.
“Sebagai tekong bot, kita perlu mahir tentang ilmu laut iaitu dengan memahami keadaan air, persekitaran laut, had lokasi memancing dan cuaca.
“Sebelum memulakan perjalanan, penting untuk tahu tentang situasi semasa supaya kejadian yang tidak diingini seperti menghadapi ribut, air surut tanpa diduga tidak berlaku,” jelasnya yang kini melakukan kira-kira 22 sesi membawa pemancing dalam sebulan.
Hurainya yang memegang lesen bot memancing untuk kawasan dari Tongkah hingga ke Sepang, dirinya pernah berdepan dengan situasi getir apabila tidak dapat kembali ke jeti kerana air surut secara tiba-tiba.
Kejadian itu menyebabkan dia tersangkut di laut dan terpaksa menunggu hingga air pasang selama kira-kira lima jam.
Pernah juga botnya hampir dilanggar oleh kapal besar kerana kerosakan enjin, namun dia bernasib baik kerana dapat mengelak tepat pada masanya.
Selain daripada memahami situasi laut, kelengkapan bot seperti alat sistem kedudukan sejagat (GPS) dan sensor sonar juga penting bagi membantu menjejak lokasi serta pergerakan ikan di laut.
Tidak hanya itu, kondisi bot juga perlu berada dalam keadaan yang terbaik dengan melakukan penyelenggaraan tepat pada masanya.
“Sebagai tekong bot juga, sifat sabar perlu tebal di dalam diri kerana setiap hari kita akan berjumpa dengan lain-lain pemancing dengan kerenah yang berbeza,” katanya.
Jelas Raja Muhammad Rezza lagi, bagi memancing di Laut Selat terutama sekitar Sepang, antara tangkapan yang popular adalah jenahak, giant trevally (gepuh) dan pari.
Namun, mengikut keadaan, ada juga ikan yang jarang ditemui di Selat Melaka boleh ditemui seperti sagai dan merah.