ALOR GAJAH – Mangsa yang rentung dalam kejadian bas ekspres dua tingkat terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi disahkan seorang remaja warga India.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa dikenali sebagai Yafarah Taj Fakrudin Hussaini berusia 17 tahun yang datang melancong ke negara ini bersama keluarganya dari Chennai, Tamil Nadu.
Katanya, empat lagi ahli keluarga mangsa turut cedera dengan dua daripadanya yang berusia 69 dan 45 tahun berada dalam keadaan kritikal di Hospital Melaka, selepas masing-masing mengalami tahap melecur 80 serta 50 peratus.
“Hasil siasatan mendapati, sebelum kejadian telah berlaku kemalangan awal melibatkan sebuah motosikal yang terbabas sendiri dan jatuh di lorong paling kiri.
“Penunggang bagaimanapun sempat bangun mengelak ke kiri jalan dan tidak lama kemudian datang bas ekspres berbabit lalu melanggar dan menyeret motosikal berkenaan sehingga mencetuskan kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujarnya, seramai lima mangsa yang merupakan satu keluarga mengalami kecederaan terbakar atau melecur termasuk tiga yang duduk di bahagian belakang bas tersebut akibat terperangkap.
“Lima mangsa telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan, namun salah seorang disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
“Dua lagi dalam keadaan diintubasi kerana mengalami tahap melecur 80 dan 50 peratus. Pemandu bas bagaimanapun hanya mengalami kecederaan luka-luka pada anggota badan,” katanya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.