KOTA TINGGI: – Tiga buah sekolah di daerah ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang turut menempatkan pesakit Covid-19 disanitasi untuk memastikan kelancaran sesi persekolahan esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata khidmat khas sanitasi itu dilakukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jaya, SK Datuk Usman Awang dan SK Laksamana.
“Terdapat mangsa banjir yang positif Covid-19 dan dikuarantinkan di sekolah-sekolah berkenaan. Susulan itu kerja-kerja sanitasi dilakukan anggota BBP Kota Tinggi dan dibantu pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan kelancaran sekolah esok tetap berjalan seperti biasa.
“Ketiga-tiga PPS berkenaan ditutup secara rasmi hari ini selepas semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shawaluddin berkata pihaknya sentiasa bersedia mendepani sebarang kemungkinan keadaan cuaca di daerah itu termasuk melakukan kajian untuk melihat laluan angin dan taburan hujan ekoran amaran hujan lebat berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi sehingga esok.-KOSMO! ONLINE