PETALING JAYA – Masjid-Masjid di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sedang giat menyemarakkan kempen ‘Subuh Macam Jumaat’ bagi menggalakkan amalan menunaikan solat subuh berjemaah di masjid secara berterusan.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyeru orang ramai untuk menyertai program tersebut yang dianjurkan masjid dan surau di dalam kariah masing-masing dengan pelbagai pengisian menarik.
“Esok pagi misalnya, Masjid Al-Muqarrabin di Bandar Tasik Selatan menyediakan jamuan tiga ekor kambing golek selepas solat subuh bagi menghangatkan lagi kempen berkenaan.
“Kuliah subuh pula akan disampaikan oleh pendakwah terkenal Ustaz Zul Ramli M. Razali,” katanya, hari ini.
Kempen Subuh Macam Jumaat sebelum ini dicetuskan oleh pempengaruh yang juga pelakon, Alif Satar sebagai tanda solidariti kepada penduduk Semenanjung Gaza, Palestin. – KOSMO! ONLINE