KOTA BHARU – Lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh buah rumah terbakar dalam kejadian di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Istana Kota Lama, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.10 pagi itu, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri.
Saksi kejadian Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 57 berkata, kebakaran itu mula disedari apabila melihat kepulan asap dan api selepas pulang dari menunaikan solat subuh di Masjid Muhammadi di sini.
Menurutnya, dia terus memaklumkan perkara tersebut kepada jiran dan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Api merebak dengan begitu cepat tanpa sempat saya berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barangan di dalam rumah. Syukur semua yang terlibat selamat dan tidak berlaku sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Arif Haikal Hashim, 22, memberitahu, dia bersyukur kerana adik bongsunya Ariana Qalisha, 5, bertindak cepat dengan memaklumkan kejadian itu.
Katanya, ketika itu dia baru sahaja masuk ke bilik selepas bersarapan dan menemani Ariana Qalisha menonton televisyen.
“Tiga minit kemudian, Ariana Qalisha memanggil saya dan memaklumkan ada asap tebal di dapur rumah. Saya terus ke dapur dan melihat ada api pada kepala penyambung hos gas memasak.
“Tanpa berlengah saya terus mengejutkan dua adik yang masih tidur dan bawa mereka serta Ariana Qalisha keluar menyelamatkan diri,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zukri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.11 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
“Ketika sampai di lokasi kebakaran, sebanyak lima rumah musnah 90 peratus manakala dua rumah musnah 30 peratus. Mengikut maklumat awal, kejadian melibatkan sebanyak lapan keluarga berikutan terdapat sebuah rumah dihuni oleh dua keluarga.
“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE