KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkenaan dua buah syarikat yang menawarkan skim pelaburan yang disyaki tidak wujud dan tidak sah, hari ini.
Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima hampir 167 aduan berkenaan skim pelaburan saham kepentingan dan saham kepentingan hartanah tersebut dengan jumlah kerugian sebanyak RM16,167,989.21.
Menurut Hishamuddin, syarikat dikatakan berpengkalan di utara tanah air dan juga di Sarawak itu mempunyai modus operandi hampir sama iaitu mengerahkan ejen-ejen mereka untuk mencari individu yang berminat dengan pelaburan ditawarkan.
“Konsep pelaburan ditawarkan oleh syarikat ini adalah pelabur dijanjikan pulangan lumayan serta banyak lagi manfaat lain yang sebenarnya tidak wujud.
“Para pengadu dimaklumkan syarikat tersebut sedang giat menjalankan perusahaan hartanah, ‘hartani’ dan pembangunan aset di seluruh negara.
“Malah, pengadu juga dijanjikan pulangan dividen lumayan berdasarkan program yang disertai,” katanya ketika ditemui di pekarangan Menara SSM@Sentral, di sini hari ini.
Tambah Hishamuddin, mangsa yang ditipu syarikat tersebut dipercayai dalam kalangan rakyat marhaen yang kebanyakannya terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Sebagai contoh, syarikat berpengkalan di Sarawak akan menawarkan peluang untuk membuat rumah dan tanah di sana.
“Sudah tentulah mangsa mengharapkan rumah yang cantik untuk didiami, namun sebaliknya yang berlaku.
“Apabila mereka bertanya pada pihak berkuasa tempatan mengenai rumah tersebut, mereka mendapati syarikat itu tidak pernah membuat permohonan untuk membina rumah di lokasi yang ditawarkan oleh mangsa,” katanya.
Sementara itu, mangsa, Senin Untung, 62, mendakwa, dia mengalami kerugian sebanyak RM86,400 setelah ditipu oleh syarikat terbabit.
Menurutnya, dia bertindak mendapatkan perkhidmatan daripada syarikat tersebut setelah melihat iklan di laman Facebook.
“Dalam kes saya, saya bina rumah atas tanah sendiri. Mengikut perjanjian, semuanya lengkap dengan gambar berserta dokumen.
“Pada awalnya, pihak syarikat tersebut berjanji untuk menyiapkan rumah dalam masa tiga bulan. Bagaimanapun, selepas tiga bulan, tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Saya sangat kecewa. Jadi saya berhubung dengan MHO untuk selesaikan perkara ini. Kami juga berharap pihak SSM akan ambil tindakan sewajarnya kepada syarikat tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE