DOHA – Tuan rumah, Qatar bersedia untuk menyerap tekanan dengan memulakan aksi peringkat Kumpulan A menentang Lebanon pada kempen Piala Asia 2023 dengan langkah kemenangan di Stadium Lusail, Doha malam ini.
Prestasi pasukan The Maroons di pentas antarabangsa sebelum ini menjadi sindiran apabila gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan ketika menjadi penganjur Piala Dunia 2022.
Namun, Qatar diletakkan harapan tinggi pada kejohanan bola sepak terbesar benua Asia kali ini memandangkan status mereka selaku juara bertahan selepas mendominasi edisi 2019.
Ketua jurulatih Qatar, Tintin Marquez mengakui, tugasan kali ini cukup mencabar kerana beliau hanya mempunyai tempoh kurang sebulan untuk membuat persiapan selepas dilantik bagi menggantikan posisi pengendali berpengalaman, Carlos Queiroz bulan lalu.
“Sudah tentu banyak tekanan yang dirasai ketika ini, tetapi inilah lumrah bola sepak.
“Saya berharap semua pemain dapat menikmati sahaja semua perlawanan yang bakal diharungi nanti dan jangan tertekan,” katanya yang pernah mengendalikan Espanyol dari 2002 hingga 2008.
Sebagai rekod, Qatar berjaya mencipta kejutan menewaskan pasukan pilihan, Jepun 3-1 pada aksi final edisi 2019 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). – AGENSI