fbpx

Piala Asia: Harimau Malaya sekarang dengan ‘kelas’ 2007 berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kali terakhir skuad negara bersaing pada Piala Asia ketika menjadi tuan rumah edisi 2007. - Foto ihsan Roslan Rahman/Getty Images

PETALING JAYA – Tidak sesuai membuat perbandingan skuad Harimau Malaya ‘kelas’ 2007 dengan pasukan semasa kendalian Kim Pan-gon yang kini sedang melakukan fasa persiapan terakhir sebelum mengharungi Piala Asia 2023, awal pagi Selasa depan.

Pandangan tersebut disuarakan oleh bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali yang percaya banyak perbezaan daripada aspek kualiti antara kedua-dua pasukan meskipun berjaya beraksi di peringkat tertinggi benua Asia itu.

Safee yang turut berada dalam skuad edisi 2007 kendalian Norizan Bakar mengakui pasukan ketika itu masih belum bersedia sepenuhnya selain diundi dalam kumpulan maut.

“Bagi kempen 2007, saya lihat kita belum bersedia sepenuhnya tidak kira daripada aspek ranking dan juga prestasi di atas padang.

“Di atas kertas, mungkin kita dibarisi pemain bertaraf bintang tetapi masih belum cukup bagus.

“Banyak peranan antaranya kualiti liga domestik kita yang jauh jika dibandingkan dengan China dan Uzbekistan. Selain itu, kita juga memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tewas besar kepada China (1-5).

“Berbeza dengan sekarang, kita boleh lihat peningkatan yang drastik dengan pemain cukup bermotivasi dan yakin selain kualiti skuad kali ini juga cukup baik,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Pada kempen edisi 2007, skuad negara layak bermain pada Piala Asia selaku tuan rumah dan diundi dalam Kumpulan B bersama China, Uzbekistan dan Iran dengan Malaysia tewas semua perlawanan.

Selain Safee, beberapa pemain utama yang beraksi dalam pasukan tersebut seperti Shukor Adan, Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan kapten, Kaironnisam Sahabudin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI