PETALING JAYA – Penyambungan span Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) menghubungkan Malaysia dan Singapura yang disempurnakan semalam merupakan simbolik kepada keutuhan persahabatan kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyempurnaan landasan kereta api berkembar itu juga simbolik kepada kesediaan untuk Malaysia dan Singapura terus melangkah ke hadapan seiring dan bersama.
“Di tengah-tengah Selat Tebrau, saya dan PM Lee (Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong) telah sempurnakan penyambungan span bagi projek RTS Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
“Penyempurnaan landasan kereta api berkembar penuh bermakna ini adalah simbolik keutuhan persahabatan kedua-dua negara dan kesediaan untuk terus melangkah ke hadapan seiring dan bersama,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala bagi projek RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura pada 16 Januari 2018.
Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.
Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.
Anwar berkata, beliau yang mengadakan lawatan singkat saya ke Johor semalam bersama Hsien Loong turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurut beliau, pemeteraian MoU tersebut bakal melancarkan aliran rentas sempadan sekaligus mengukuhkan ekosistem perniagaan dan merancakkan pelaburan di zon ini.
“Saya yakin dan percaya kehadiran PM Lee (Hsien Loong) dan delegasi Singapura ke Malaysia semalam membuahkan hasil positif selaras konsensus yang dicapai ketika pertemuan kami di Singapura tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE