fbpx

Penduduk Bayan Baru, Bayan Lepas mula terima bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tahap kedua pemulihan bekalan air bermula dari pukul 6 pagi, hari ini dengan pengepaman optimum air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau.

GEORGE TOWN – Tahap kedua pemulihan bekalan air bermula dari pukul 6 pagi, hari ini dengan pengepaman optimum air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau negeri itu.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, pihaknya menyasarkan untuk memulihkan bekalan air kepada 495,065 pengguna menjelang pukul 6 pagi esok.

”Pengguna yang berhampiran dengan Kompleks Kolam air dan Rumah Pam Bukit Dumbar akan mendapat bekalan air terlebih dahulu. Bekalan kemudiannya akan diperluaskan ke luar dan ke selatan ke arah kawasan di Daerah Barat Daya (DBD),” katanya di sini, hari ini.

Mulai 10 Januari sehingga 14 Januari, kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air.

Semalam, bekalan air dinormalisasi secara berperingkat untuk 197,025 pengguna air (33 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas) di Seberang Perai.

Menurut PBAPP, perkara itu adalah selaras dengan urutan pemulihan yang ditetapkan selepas setiap kali Loji Rawatan Air Sungai Dua dimulakan semula.

Tambahnya, tahap satu pemulihan bekalan air membabitkan 197,025 pengguna atau 33 peratus daripada pengguna terjejas di Seberang Perai telah selesai.

“Bagi tahap ketiga iaitu pemulihan bekalan air melibatkan 99.5 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas di Seberang Perai dan di bahagian Pulau belum selesai dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang pukul 6 pagi Ahad.

“Tahap keempat pula pemulihan bekalan air bagi baki 0.5 peratus daripada pengguna terjejas di kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) dan tanah tinggi di kawasan selatan bahagian pulau dijangka selesai juga pada 6 pagi Ahad nanti,”katanya.

Dalam pada itu, PBAPP turut memaklumkan pengujian dan pengoperasian semula secara beransur-ansur saluran paip dasar Sungai Perai yang telah siap dibaiki semalam juga telah selesai.

Setakat pagi ini, penduduk di beberapa kawasan Bayan Baru dan Bayan Lepas mula menerima bekalan air sejak pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI